IPOH: Kerajaan melaksanakan empat teras utama bagi memastikan sektor pelancongan dapat dimartabatkan sebaik mungkin sempena Tahun Melawat Perak (TPM) 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata antara penekanan yang dilaksanakan adalah pembangunan pelancongan, pembangunan pakej dan program, pembangunan produk baru dan pembangunan modal insan.

“Banyak usaha yang telah dijalankan ke arah membangun kemudahan infrastruktur seperti menaiktaraf kemudahan awam di Jeti Awam Pulau Banding, Gerik, Gunung Lang, Gua Tambun, Kampung Dew, Kellie’s Castle dan baik pulih Istana Kenangan,” katanya semasa menggulung Bajet 2017 di Dewan Negeri, pada Jumaat.

Menurutnya, pembaharuan daripada segi pakej pula melibatkan kombinasi pakej Tahun Melawat Perak, Terengganu dan Pahang selain Pakej Harga Diskaun untuk 1,000 bilik di negeri Perak.

“Kita turut menyediakan Pakej Jejak Masjid di mana ia melibatkan lapan buah masjid Ipoh dan Kuala Kangsar yang ada nilai sejarah tersendiri, ada juga Pakej Cuti-Cuti Malaysia Khas sempena Tahun Melawat Perak 2017,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Nolee, pembangunan produk baru turut diketengahkan menerusi kewujudan Taman Botani Negeri Perak, Rumah Dato’ Lat, Pulau Suka-Suka dan Movie Animation Park Studio (MAPS).

“Peruntukan untuk membangunkan sebuah Taman Botani telah diluluskan di kawasan Taman Tasik Taiping yang akan ada 13 laman-laman di talian Taman Botani dengan keluasan 50 ekar.

“Tempoh pelaksanaan selama lima tahun termasuk dengan taman herba, Pulau Suka-Suka juga dikenalpasti sebagai pusat rekreasi serta homestay, lokasi memancing, berkayak, menaiki bot dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Nolee berkata, kerajaan negeri turut mengetengahkan pelbagai kempen dan kursus bagi pembangunan modal insan seperti English for Tourism, We Are The Host dan Kursus Lesen Pemandu Pelancong (Green Badge).

“Perancangan kini sedang dilakukan untuk mewujudkan ‘Perak WOW Apps’ bagi tujuan untuk memberi kemudahan maklumat kepada para pelancong dalam dan luar negara.

“Ia melibatkan kemudahan penginapan, destinasi pelancongan, kompleks membeli-belah, restoran dan sebagainya,” kata beliau.