SERI ISKANDAR: Polis Perak Tengah berjaya menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah (tokan) dan merampas 137.22 gram heroin serta 6.12 gram syabu, keseluruhan bernilai RM15,000 dalam dua serbuan berasingan di Bota, Seri Iskandar, Jumaat dan Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hassan, dalam serbuan pertama Jumaat lalu, polis daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menahan tiga lelaki berusia 40 hingga 51 tahun di dalam rumah di Bota pada 5 petang.

“Pemeriksaan polis menemui 26 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 25.22 gram serta syabu seberat 5.60 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, di sini ar pada Isnin

Seterusnya, kata beliau, dalam serbuan kedua di rumah berasingan semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 30-an dan merampas dadah jenis heroin seberat 112 gram dan syabu seberat 0.52 gram.

Aziz berkata, tiga suspek pertama direman selama lima hari bermula Sabtu lalu dan seorang lagi suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

Ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif morfin.

“Suspek yang ditahan semalam turut mempunyai 11 rekod jenayah membabitkan lima kes jenayah serta enam kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.