MUALLIM: Sebuah tren kargo dengan 43 gerabak pelbagai muatan tergelincir di Stesen Kereta Api Tanjung Malim, dekat sini, hari ini.

Dalam insiden itu, enam gerabak terakhir tren itu tergelincir ketika sedang melalui stesen tersebut kira-kira jam 6.55 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, tren itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Ipoh membawa pelbagai barangan termasuk tekstil dan peralatan kejuruteraan.

“Insiden kegelinciran itu telah mengakibatkan satu landasan terhalang.

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren penumpang yang masih beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas ekoran insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Bagaimanapun, kata beliau, tiada kemalangan nyawa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah dimaklumkan.

“Siasatan juga telah dijalankan ke atas pemandu tren dan pembantunya yang terlibat dalam insiden itu,” ujarnya.

Menurut Kamaruizaman, kakitangan KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.

Selain itu, katanya, ia bagi memastikan operasi tren-tren penumpang tidak terjejas apabila beroperasi sepenuhnya selepas tempoh PKP nanti.