IPOH – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yakin enam jenis kelapa yang dihasilkannya mampu memenuhi permintaan pasaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Kajian) Mardi, Dr Kamariah Long berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan, enam jenis kelapa berkenaan iaitu Careni, Carec, Mylag, Merleca, Myleca dan Marena dilihat mampu menghasilkan 20,000 kelapa bagi setiap jenis kelak.

“Antara kelebihan kelapa jenis ini adalah ia boleh ditanam dalam kepadatan lebih tinggi kerana saiz pokoknya yang rendah.

“Oleh itu, enam jenis kelapa yang diperkenalkan ini dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran kelapa dalam negara,” katanya.

Kamariah berkata demikian setelah menyempurnakan perasmian Persidangan Kelapa Kebangsaan 2018 di Hotel Kinta Riverfront, semalam.

Difahamkan, persidangan kali kedua itu dihadiri seramai serta menampilkan pembentangan 19 tajuk kertas kerja serta 26 tajuk poster.

Sementara itu, Kamariah berkata permintaan bagi kelapa didapati agak tinggi iaitu sebanyak 600 juta tan setahun berbanding keupayaan negara yang hanya mampu mengeluarkan 500 tan.

Katanya, negara kekurangan 100 juta tan kelapa setiap tahun dan pengenalan enam jenis kelapa ini diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran komoditi berkenaan.

“Kelapa terkenal sebagai tanaman yang mempunyai pelbagai kegunaan. Daripada isi sehingga sabut, sama ada sebagai makanan atau untuk kegunaan dalam bidang kosmetik.

“Sebagai contoh, minyak dara kini mendapat permintaan yang tinggi selain produk nata de coco yang juga dihasilkan daripada kelapa, telah dieksport ke Jepun,” katanya.

INFO

Enam jenis kelapa berkenaan Careni, Carec, Mylag, Merleca, Myleca dan Marena – sinar