SLIM RIVER: Calon pembangkang didapati mendekati masyarakat Orang Asli dekat sini, semata-mata untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14), bukannya mahu menyelesaikan masalah masyarakat itu.

Berikutan itu, kira-kira 700 pengundi Kampung Gesau, Kampung Keding, Kampung Bangkong, Kampung Tibang, Pos Bersih dan Pos Tenau berikrar untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 ini.

Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli Perak, C Ramesh Arumugam, berkata ikrar itu dilakukan selepas kerajaan negeri berjanji menyelesaikan masalah tanah adat Orang Asli dan pembinaan stesen hidro elektrik yang dikatakan menjejaskan sumber ekonomi dan kehidupan seharian.

Katanya, kepemimpinan pembangkang membuat manifesto untuk menjaga kebajikan Orang Asli tetapi mereka tidak mampu menjamin kebajikan masyarakat itu.

Malah, katanya, pemimpin pembangkang tidak pernah mendekati penduduk Orang Asli sebelum ini dan hanya berbuat demikian pada kempen PRU-14 ini sahaja.

“Saya percaya semua Orang Asli di negeri ini, khususnya di Parlimen Tanjung Malim menyokong semua calon BN bagi memastikan kebajikan masyarakat itu terjamin pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Masyarakat Orang Asli Bersama Tok Batin di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Tok Batin Suku Kaum Semai Malaysia, Gahrai Kadik serta semua Tok Batin bagi Kampung Gesau, Pos Bersih, Kampung Keding, Kampung Tenau, Kampung Bangkong dan Kampung Tibang.

Sementara itu, Gahrai berkata, setiap kali PRU, masyarakat Orang Asli suku kaum Semai sentiasa bersama dan menyokong BN dan berharap isu tanah adat Orang Asli diselesaikan dengan segera untuk menjamin masa depan masyarakat itu.

Katanya, pembinaan stesen hidro elektrik berdekatan Pos Tenau juga secara tidak langsung menjejaskan sumber ekonomi dan rutin harian Orang Asli di situ.

“Saya mahu semua Orang Asli di negeri ini khususnya di Parlimen Tanjung Malim menyokong semua calon BN dalam PRU-14, hanya kerajaan BN dapat menyelesaikan semua permasalahan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd, Syed Amir Nidzamuddin Syed Abu Hussin, berkata pembinaan stesen hidro elektrik yang bernilai kira-kira RM60 juta untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu akan diberhentikan buat sementara waktu.

Katanya, syarikat berkenaan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengkaji isu yang dibangkitkan oleh masyarakat Orang Asli sejak pembinaan stesen itu.

“Pembinaan stesen itu di tanah milik agensi kerajaan dan tidak membabitkan tanah adat Orang Asli dan berharap masalah ini dapat diselesaikan untuk kebaikan dan kepentingan semua pihak,” katanya ketika ditemui di Pos Bersih di sini, hari ini – berita harian