KUALA LUMPUR : Enam lagi klip video yang memaparkan dua lelaki, salah seorang mereka menyerupai menteri kabinet Mohamed Azmin Ali, disebarkan di media sosial.

Sama seperti sebelum ini, lebih 80 pengamal media dan beberapa ahli politik dimasukkan dalam kumpulan perbualan WhatsApp pada pagi tadi.

Kumpulan bertajuk “Video Terkini Azminā€ ditubuhkan pada jam 3.35 pagi hari ini dalam mana video kedua-dua lelaki itu yang sedang melakukan aktiviti seksual dilampirkan.

Video berkenaan dibahagikan kepada enam klip yang setiap satu selama tiga minit. Adalah dipercayai ia adalah video sama yang dihantar kepada wartawan berulang kali sejak beberapa bulan lalu.

Selain pemberita, beberapa menteri Pakatan Harapan termasuk Menteri Pertahanan Mohammad Sabu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub serta ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam turut berada dalam kumpulan Whatsapp itu.

Susulan penyebaran klip video awal pada Jun lalu, Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang merupakan setiausaha kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika itu, kemudiannya tampil mendakwa sebagai salah seorang lelaki dalam video tersebut.

Ketua Pemuda PKR Santubong itu mendakwa aksi mereka diadakan di sebuah bilik hotel di Sabah semasa pilihan raya kecil Sandakan pada 11 Mei lalu manakala rakan lain dalam video tersebut adalah Azmin dan video itu dirakam tanpa persetujuannya.

Azmin, yang adalah menteri hal ehwal ekonomi dan timbalan presiden PKR, menafikan beliau adalah lelaki dalam klip itu dan mendakwa komplot itu berrtujuan memusnahkan kerjaya politiknya.

Beberapa pihak juga mendakwa video itu adalah rekayasa dan palsu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada Julai lalu mendedahkan bahawa Cybersecurity Malaysia mendapati video itu adalah sahih tetapi proses pengecaman wajah gagal mengaitkan Azmin sebagai salah seorang daripada dua lelaki yang dipaparkan di dalam video berkenaan.

Walau bagaimanapun, Lokman mendakwa bahawa pakar-pakar Indonesia yang diupah untuk menganalisis video tersebut mengesahkan bahawa kedua-dua mereka adalah Azmin dan Haziq.

Polis pada Isnin lalu berkata, mereka telah menerima laporan daripada Verden Forensics, pakar forensik audiovisual yang berpangkalan di Birmingham mengenai video seks itu.

Video berkenaan dikemukakan kepada syarikat British tersebut oleh Lokman.

Laporan itu turut dihantar ke Cybersecurity Malaysia sementara kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara – kedua-duanya untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed juga mengesahkan bahawa kes itu masih disiasat di bawah Seksyen 377B dan 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-MalaysiaKini