IPOH: Enam lelaki warga tempatan ditahan polis kerana dipercayai terlibat melakukan rusuhan dan mencederakan seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Medan Tasek Perdana di sini, kira-kira pukul 2 pagi, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, semua lelaki tersebut yang berumur dalam lingkungan 37 hingga 49 tahun, ditahan di sekitar Ipoh pada petang hari kejadian.

Katanya, seorang peniaga lelaki berumur 32 tahun membuat laporan polis ‪pada pukul 1.48 tengah hari pada hari kejadian dan mendakwa sekumpulan lelaki bersenjatakan parang membuat kacau dan meminta wang perlindungan bulanan sebanyak RM2,000 di pusat hiburan berkenaan.

“Mangsa turut dibelasah di bahagian mata dan tangan kanan selepas bertanya kepada suspek sebab mereka membuat kacau,” katanya kepada pemberita ketika selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, semua suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.