Slim River: Polis menahan enam lelaki berusia 20 hingga 42 tahun termasuk seorang pemandu lori selepas dipercayai mencuri pelbagai komponen jengkaut yang rosak milik kontraktor pembersihan ladang kelapa sawit di FELDA Besout Satu, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, kegiatan dilakukan semua suspek disedari rakan kepada pemilik jengkaut yang terlihat mereka meleraikan komponen jengkaut yang rosak di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis menerima maklumat mengenai kegiatan itu kemudiannya ke lokasi kejadian sebelum suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak mencampakkan komponen jengkaut ke dalam gaung berdekatan.

Katanya, polis hanya mengetahui mengenai tindakan mencampak komponen itu ke dalam gaung selepas soal siasat dijalankan terhadap semua suspek dan terpaksa mengambil masa enam jam untuk mengeluarkan komponen itu.

“Polis turut menyita sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan itu dan kesemua komponen itu dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya.  -Metro