PULAU PANGKOR – Enam lelaki termasuk seorang kanak-kanak nyaris maut apabila bot yang membawa mereka untuk memancing karam di Pulau Mentago, kira-kira setengah batu nautika dari Pulau Pangkor, malam tadi.

 

Kesemua mereka berhasrat untuk menghabiskan cuti hujung minggu memancing sebaliknya berdepan dengan tragedi yang hampir meragut nyawa.

 

Jurucakap dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada 9.20 malam dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, di dapati sebuah bot karam melibatkan enam orang lelaki berusia antara 28 hingga 35 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

 

“Mangsa dikenali sebagai Muhamad Zubir Suhaimi, 28 tahun, Muhammad Hazwan Zainal, 29, Shahril Zakaria, 29, Mohd Zulkarnain Sohaimen, 32, Mohd Faisal Abd Majid, 35, Mohamed Fadzrul Mohd Faizal, 8.

 

Ke semua mereka dalam perjalanan untuk memancing,” kata beliau ketika dihubungi.

 

Menurut jurucakap tersebut, semua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh nelayan perkampungan yang berada di kawasan sekitar.

 

“Mereka telah diserahkan kepada pihak Klinik Kesihatan Pulau Pangkor untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

 

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.17 malam.