BATU GAJAH: Lima maut manakala tiga cedera parah dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 16, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Siputeh pada petang Isnin.

Dalam kejadian sekitar 3.30 petang berhampiran stesen minyak BHP Siputeh itu, dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Mercedes telah bertembung di bahagian hadapan.

Mangsa yang maut adalah Anita Zuriana Abu Zarim, 46, penumpang hadapan Mercedes.

Empat yang lain menaiki kereta Toyota Vios iaitu pemandu, Leong Kok Chuen, 37, dua wanita berumur 20 dan 60 tahun serta seorang lelaki berusia 40 tahun.

Polis masih cuba mendapatkan identiti ketiga-tiga mangsa berbangsa Cina itu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kejadian berlaku apabila Mercedes yang sedang dari arah Ipoh ke Seri Iskandar bertembung dengan Toyota Vios dari arah bertentangan yang dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain.

“Akibat terlalu dekat pemandu Mercedes itu gagal mengelak lalu bertembung dengan Vios tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada petang Isnin.

Menurutnya, pemandu serta dua penumpang Vios maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

Penumpang hadapan Mercedes juga maut di tempat kejadian.

Nasri berkata, pemandu Mercedes berusia 50 tahun, iaitu seorang pengurus syarikat terkemuka dan dua anak perempuannya berusia 13 dan 19 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi rawatan lanjut.

Tambah beliau, kedua-dua kenderaan yang rosak teruk di bahagian hadapan itu akan dihantar ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987,” katanya lagi.