IPOH: Malaysia berpeluang muncul juara pertama kali Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila beberapa pasukan elit tidak menyertai kejohanan edisi ke-28 itu yang dijadualkan Mac ini.

Hanya enam pasukan telah mengesahkan untuk menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, enam pasukan itu ialah India yang menduduki ranking ke-5 dunia, Kanada (10), Malaysia (13), Afrika Selatan (16), Korea (17) dan Jepun (18).

Menurutnya, kebanyakan pasukan terbaik dunia tidak dapat mengambil bahagian kerana terlibat dengan World Pro League anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang berlangsung mulai 19 Januari hingga 30 Jun ini.

Sembilan pasukan yang mengambil bahagian itu ialah Australia, Argentina, Belgium, Belanda, Jerman, England, Sepanyol, New Zealand dan Pakistan.

“Peminat hoki tempatan berpeluang menyaksikan perlawanan ulangan Malaysia dan Jepun selepas Malaysia tewas dalam Sukan Asia lalu dengan penalti ‘shoot out’ walaupun telah mendahului sebanyak dua kali,” katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Pada perlawanan akhir Sukan Asia di Palembang, Indonesia, tahun lalu, Malaysia tewas kepada Jepun walaupun mendahului dua kali, 2-0 dan 4-2.