PONTIAN: Enam pengemis lelaki orang kurang upaya (OKU) warga China, hari ini, dihukum sebulan hingga enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Khas PATI kerana tinggal melebihi had masa dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Kesemua mereka yang juga OKU fizikal didapati bergerak menggunakan kerusi roda dan bertongkat ketika dibawa masuk ke kamar mahkamah itu di Pekan Nenas, di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas PATI, Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh disabit kesalahan atas pertuduhan.

Lima tertuduh iaitu Yan Haiyan, 49; Huang Taofa, 22; Zhou Xiang, 53; Du Shulin, 46, dan Liu Banghong, 44, didakwa melakukan kesalahan di Century Garden Villa di Century Garden, Johor Bahru, jam 12.30 tengah malam, pada 13 Mac lalu.

Mereka yang memiliki pasport yang dikeluarkan pas lawatan sosial didakwa tanpa sebab munasabah tinggal lebih masa, antara 15 hari hingga setahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Seorang lagi tertuduh, Li Qingshan, 48, didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau dua bulan penjara daripada tarikh hukuman.

Difahamkan, tertuduh gagal membayar denda yang ditetapkan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Johor, Norhasimah Othman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam – berita harian