TAIPING – Enam remaja sesat dalam hutan ketika hendak turun dari puncak Bukit Larut di sini gara-gara cuba mengikut satu jalan pintas dalam kejadian petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Rafeel Hairul Richard, berkata, kesemua remaja terbabit berusia 15 tahun dan difahamkan melakukan aktiviti mendaki bukit itu pada jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, salah seorang mangsa membuat panggilan telefon kepada pihaknya pada jam 3.15 petang memaklumkan mereka sesat setelah cuba menggunakan jalan pintas untuk menuruni bukit itu.

“Seramai 13 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengesan kumpulan mangsa terbabit.

“Akhirnya kumpulan remaja itu ditemui pada ketinggian 800 meter dari paras laut dan kira-kira 300 meter dari jalan tar laluan utama bukit itu.

“Kesemua mereka dalam keadaan lemah dan kepenatan namun tiada sebarang kecederaan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Rafeel berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan mereka dari lokasi kejadian pada jam 7 petang dan kemudiannya menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti punca kejadian itu tiada kaitan dengan kejadian mistik.

“Sebaliknya kumpulan remaja sekolah ini mengikuti jalan ‘off road’ yang disangkakan jalan pintas untuk menuruni bukit itu,” katanya.

Rafeel turut menasihati orang ramai khususnya pihak melakukan aktiviti pendakian di situ agar mengikut laluan sedia ada bagi mengelakkan perkara sebegini berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, seramai 33 anggota membabitkan polis, bomba dan kakitangan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) terlibat dalam operasi mencari.

“Lima mangsa diserahkan kepada keluarga masing-masing manakala seorang mangsa kini dirawat di Hospital Taiping kerana mengalami kecederaan di kaki,” katanya – sinar