IPOH: Enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak cedera dalam satu kebakaran di Jalan Labrooy, Taman Merdeka di sini pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian sekitar 2 pagi itu, enam beranak itu difahamkan sedang berada dalam rumah dua tingkat mereka sebelum kebakaran yang dikatakan berlaku dengan pantas.

Menurut saksi kejadian, dia terhidu bau asap yang kuat dari arah tingkapnya dan segera keluar rumah sebelum menyedari kepulan asap hitam di rumah jirannya.

Pada waktu itu, dia terdengar jeritan beberapa kanak-kanak dan menyedari seorang daripada jirannya yang baru sahaja balik dari berniaga segera menghubungi pihak bomba.

“Nasib baik masa tu jiran kami yang baru sahaja balik dari berniaga wan ton mee pada tengah malam menyedari kejadian itu lalu menjerit kepada jiran-jiran mengenai kebakaran.

“Salah seorang daripada kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah dan ada di antara mereka juga pengsan kerana terhidu asap,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Mahmud Azzadin Mohamad Najamuddin berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 2.11 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati seorang kanak-kanak mengalami kecederaan (melecur) first degree manakala mangsa-mangsa lain turut terhidu asap.

“Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menggunakan kenderaan EMRS bagi rawatan lanjut,” katanya.

Jelasnya, insiden tersebut melibatkan sebuah rumah berkeluasan 20X50 kelas “A” yang mengalami kebakaran sebanyak 50 peratus.

Operasi pemadaman mengambil masa kurang daripada sejam dan tamat sekitar 2.45 pagi.