ENAM sekeluarga terpaksa menjadikan bangsal berdindingkan zink dan kain sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga kerana kesempitan hidup.

Bagi Noor Muhibah Abdullah, 40, kehidupannya bersama lima anaknya semakin sukar selepas kematian suami, Saikh Feroz Hasan Raza, dua tahun lalu,

Katanya, ketika suaminya ada, mereka tinggal di rumah peninggalan mentua bersebelahan bangsal, namun rumah itu sudah terlalu uzur.

“Bimbang rumah terbabit roboh, saya mengambil keputusan untuk membina sendiri tempat tinggal baharu dengan menggunakan bahan terpakai dan sumbangan orang ramai.

“Walaupun perit kerana tinggal di dalam bangsal yang serba kekurangan, namun saya bersyukur kerana ada tempat tinggal dan tidak merempat,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Panji, Kota Bharu.

Noor Muhibah yang bekerja di kedai kek dan roti berkata, dia pernah fikir untuk menyewa rumah, namun pendapatan yang diperoleh itu tidak mencukupi.

Katanya, dia terpaksa berjimat kerana empat anaknya, Sharifah Natasha Saikh Feroz, 15; Sharifah Shuhada, 14; Saikh Harris, 12; Saikh Amir, 11 masih bersekolah dan anak bongsunya Saikh Amar Zarifi, 4, masih kecil.

“Ibu mana yang mahu melihat anaknya hidup susah, namun dengan pendapatan hanya RM700 sebulan tidak cukup untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga.

“Malah cermin mata anak sulung saya yang rosak tidak berganti lagi dan terpaksa menggunakan gam bagi membolehkannya diguna semula,” katanya.

Dia berkata, nasib mereka sekeluarga mendapat perhatian dari kerajaan negeri yang menjanjikan rumah.

Namun katanya, sejak dibina Februari lalu, rumah terbabit masih belum siap dan kerja pembinaan sudah dihentikan pada bulan lalu.

“Saya ingatkan boleh beraya di rumah baharu tahun ini, mungkin bukan rezeki kami untuk merasa tinggal di tempat yang selesa dan terpaksa terima takdir itu,” katanya – hmetro