Ribut yang melanda di laut dan keengganan Low Eng Chuan,19, membantu bapanya menjual ikan di pasar pada hari Selasa disifatkan sebagai petanda pemergian beliau.

 

Eng Chuan, merupakan salah seorang mangsa yang terlibat di dalam kejadian bot karam di Kuala Sangga, Matang, Taiping, hari ini yang turut mengorbankan seorang lagi nelayan Beh Liang Tik, 49, dan anak beliau Beh Chun Hui, 16.

 

Bapa mangsa, Low Chuan Aik, 49, menyifatkan pemergian anak lelaki  tunggal daripada tujuh beradik itu sebagai takdir dan beliau tabah menerima berita tersebut.

 

“Eng Chuan merupakan seorang anak yang rajin dan ringan tulang membantu keluarga. Dia telah mengikut dan membantu saya ketika keluar ke laut sejak tiga tahun lalu dan mahir berkenaan kehidupan dan kerja sebagai seorang nelayan.

 

“Pada hari kejadian, Eng Chun telah bersetuju untuk membantu Chun Hui dan bapanya untuk keluar memukat pada hari selasa, namun mereka tidak pulang sehingga jam 10 malam 19 Jun,” kata beliau ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Taiping ditemani oleh anggota keluarga yang lain untuk menuntut mayat anaknya selepas urusan bedah siasat selesai.

 

Menurut Chuan Aik, anaknya itu seorang yang agak perahsia dan tidak pernah memberitahu ke mana dia pergi atau apa aktiviti yang dilakukan kepadanya.

 

“Saya cuma tahu dia tidak pulang apabila isterinya memberitahu adiknya yang Eng Chuan tidak pulang selepas jam 10 malam. Kami memaklumkan kepada penduduk kampung dan ada yang membantu kami keluar mencari bot mereka namun gagal,” katanya sebak.

 

Chuan Aik berkata, Eng Chuan juga enggan membantu beliau di pasar pada pagi itu sebelum bertolak keluar ke laut.

 

“Berbanding dengan sebelum ini, beliau tidak pernah menolak membantu saya menjual ikan di pasar walaupun saya meminta tolong,” tambah beliau lagi.

 

Mayat Eng Chuan dijumpai oleh para nelayan dengan bantuan anggota penyelam bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak pada pukul 8.30 pagi terapung di permukaan air di perairan Kuala Sepetang.