SLIM RIVER – Satu kebakaran kecil melibatkan sebuah lokomotif membawa muatan simen dalam kejadian kebakaran di Kilometer 281.25 arah utara pagi tadi.

Kebakaran kira-kira jam 5 pagi tadi itu tidak melibatkan operasi perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan ia berjalan seperti biasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jasfian Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.28 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi,pihak kami mendapati kebakaran melibatkan bahagian enjin kereta api.

“Namun begitu kebakaran pada bahagian enjin kereta api telah terpadam dan anggota membuat pengudaraan bagi mengeluarkan asap,” katanya.

Jasfian berkata, anggotanya masih membuat pemantauan dan anggota forensik zon dalam perjalanan untuk membuat siasatan punca kebakaran tersebut.

-SinarHarian