MANJUNG: Golongan ‘environmentalist’ seharusnya berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak di atas inisiatif berterusan melindungi hutan simpan di negeri ini sehingga berjaya mengurangkan keluasan hutan simpan dimansuhkan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, berikutan usaha bersungguh kerajaan negeri, bukan sahaja telah dapat menghadkan penwartaan pemansuhan malah berjaya mengecilkan keluasan hutan simpan kekal dimansuhkan.

Menurutnya seluas 3,847 hektar hutan simpan telah dikeluarkan daripada pewartaan pada 1998 untuk tujuan penempatan dan pertanian rakyat.

Kata beliau, kawasan itu diberikan kepada rakyat yang telah tinggal di kampung-kampung di situ selama 40 tahun di samping rakyat yang mengusahakan rancangan tanah pertanian berkelompok.

Bagaimanapun, kata beliau, hasil kajian semula yang dibuat pada 2013, jumlah kawasan itu telah dikurangkan.

“Sepatutnya golongan-golongan yang dipanggil ‘environmentalist’ berterima kasih kepada saya kerana mengurangkan lagi kawasan itu dan menyelamatkannya.

“Tetapi digambarkan saya telah merosakkan kawasan (hutan simpan) sedangkan negeri Perak adalah negeri yang tertinggi sekali yang mengekalkan hutan simpan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis minum petang bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Parlimen Lumut di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu yang tular di media sosial sejak semalam, kononnya beliau memansuhkan 3,847 hektar hutan simpan di Perak.

Dr Zambry memberitahu, di zaman beliau menjadi Menteri Besar, bukan hanya hutan simpan dikekalkan, malah menambahkan lagi pengekalan hutan-hutan simpan lebih daripada 24,000 hektar (60,000 ekar), termasuk hutan di Teluk Muroh.

Ekoran isu yang menjadi tular itu, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham akan membuat sidang media mengenainya, esok.

“Biasalah dalam politik, kalau boleh hentam, balun, belasah dulu, apa jadi selepas tu belakang kira,” kata Dr Zambry.

Untuk makluman, Perak mempunyai keluasan hutan simpanan kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 997,623.86 hektar.

Keluasan itu meliputi 47.45 peratus daripada keluasan negeri ini di samping memenuhi piawaian Sijil Pengurusan Hutan, MC & I (hutan kekal) di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS).