Oleh: Aida Aziz

SEKITAR tahun 2016, nama Esah Ahmad hangat diperkatakan selepas dilantik sebagai Ketua Kampung di Kampung Balun, Slim River, menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan itu di Perak, yang mungkin juga di Malaysia.

Mengakui pernah dikecam dan dikritik oleh segelintir penduduk kampung di situ, Esah, 57, kini boleh berlapang dada kerana penerimaan mereka sudah jauh berbeza, disokong dengan prestasi khidmatnya yang kini memasuki tahun ketiga.

“Hanya kerana saya perempuan, itu sahaja faktor kenapa mereka bantah waktu itu, sehingga ada yang buat petisyen membantah pelantikan saya sebagai Ketua Kampung.

“Tidak kurang juga bagi kecaman dan cakap mereka akan malukan saya sampai saya takkan keluar rumah, kita bukannya buat benda tak elok, bukan kita nak jadi imam atau baca talkin, saya maklum dengan apa yang boleh atau tak boleh dalam Islam.

“Tapi itu cerita lama, sekarang segalanya Alhamdulillah berjalan lancar, sebab kita pasang niat memang untuk berkhidmat kepada orang kampung” katanya yang merupakan anak jati Kampung Balun.

Balun Bukan Bermakna Kaki Pukul

Menurut Esah lagi, nama Balun dipercayai diambil dari perkataan Orang Asli sewaktu ketika dahulu, ia merupakan nama penyakit yang menjadi penyebab kematian Orang Asli di situ.

“Ada macam-macam kisah asal nama di sini tetapi yang selalu kami dengar ialah namanya diambil sempena nama Tok Batin iaitu Tok Balun.

“Ramai yang pelik dengan nama kampung ini, tambahan pula ketua kampungnya pun perempuan, lain daripada kebiasaan,” ujarnya.

Pintu gerbang untuk memasuki Kampung Balun.

Gabungan Tiga Wanita Wujud Kesepakatan

Satu persatu masalah penduduk kampung dibawa ke pengetahuan pihak berwajib, bermula daripada lampu jalan sehingga jalan di kampung yang kini sudah berturap, membuktikan Esah juga boleh menjalankan tugas seiring dengan kaum lelaki.

“Alhamdulillah saya berjaya dapatkan 20 tiang lampu untuk menerangi kawasan yang gelap di sini dan menurap jalan-jalan kampung selain utarakan permohonan untuk bersihkan Sungai Balun dan Sungai Slim supaya air tidak melimpah kalau hujan lebat.

“Ketua-Ketua Kampung yang lain di DUN ini pun banyak beri semangat pada saya, rasa gembira sebab mereka faham dan terima saya walaupun semuanya lelaki,” kata Esah.

Ujarnya, sokongan dan tunjuk ajar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Rusnah Kassim selama ini mendorongnya untuk lebih bersemangat memegang amanah sebagai ketua kampung.

“Kerap kali saya kata pada mereka (penduduk kampung) yang kita kena bersepakat bangunkan kampung, terus terang saya katakan jawatan ketua kampung ini bukannya saya pegang selama-lamanya, habis tempoh, orang lain pula.

“Apa pun, kelebihan yang ada di sini tentunya ADUN wanita termasuk Pegawai Daerah, Nor Sham Rahman, saya banyak merujuk kepada mereka untuk salurkan bantuan dan sebagainya

“Dalam situasi tertentu, misalnya berhadapan dengan kes pergaduhan baru-baru ini atau perlu keluar pada waktu tengah malam, saya akan ditemani suami atau anak lelaki untuk ke lokasi tersebut,” katanya.

WARISAN…Surau Tinggi yang didirikan sejak tahun 1902 dibina tanpa menggunakan paku masih berdiri teguh hingga kini.

Bantuan Kerusi Roda Kepada Penduduk Kampung

Sementara itu, Esah menghargai bantuan terus-menerus yang diberikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

“Walau sibuk macam mana sekalipun kalau dijemput beliau akan gagahkan diri datang, permohonan untuk bantuan kerusi roda umpamanya, memang senang diperoleh, bila-bila masa boleh ambil kalau saya ajukan permohonan,” katanya.

Esah berpendapat, ramai calon wanita yang berpotensi untuk diangkat sebagai ketua kampung selepas ini dan berharap kebolehan itu diterima baik untuk kemajuan bersama.

“Selagi tidak mencuba, kita tidak tahu setakat mana boleh pergi. Paling penting belajar dari yang berpengalaman dan pikul tanggungjawab sebaiknya,” ujarnya.