IPOH: ESnet Academy Sdn Bhd, sebuah institusi kemahiran otomatif terkenal di Perak menjalin kerjasama dengan DRB-Hicom University untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan yang ditawarkan di negeri ini.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak telah diadakan di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, ESnet Academy diwakili dua pengarahnya, Syed Nasrul Azmi dan Sam Chang manakala DRB-Hicom University diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Garry James Clayton dan Timbalan Naib Canselor, Melvin Beh.

Hadir sama Pengarah Kumpulan Pendidikan DRB-Hicom Berhad, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.

Syed Nasrul berkata, dengan perjanjian itu, pelajar ESnet Academy berpeluang untuk melanjutkan penganjian di peringkat ijazah di DRB-Hicom University yang terletak di Pekan, Pahang.

“Selain itu, kami juga sedang berbincang mengenai kemungkinan mengadakan pengajian peringkat diploma untuk DRB-Hicom Universiti di kampus kami di sini,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Buat masa ini, ESnet Academy hanya menawarkan pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang otomatif.

Menurut Syed Nasrul, sebagai persiapan ke arah itu, pihaknya telah membeli sebuah bangunan di Kawasan Industri Jelapang untuk dijadikan sebagai kampus terbaharu mereka.

Sementara itu, Dr Garry memberitahu, setakat ini terdapat kira-kira 1,200 penuntut DRB-Hicom University di kampus universiti itu di Pekan.

Dalam majlis itu, ESNet Academy turut menyampaikan sumbangan RM500,000 kepada lima buah rumah kebajikan untuk memberi biasiswa kepada pelajar miskin yang ingin melanjutkan pelajaran samada di akademi itu ataupun di DRB-Hicom University.