KUALA LUMPUR: ESPEK Sdn Bhd dan RISDA Fleet muncul pemenang Anugerah Syarikat Terbaik dalam kategori masing-masing pada Majlis Anugerah Syarikat Terbaik Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2016.

ESPEK Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai RISDA Estate Sdn Bhd, memenangi kategori modal berbayar RM5 juta dan ke atas, manakala tempat kedua kategori itu dimenangi KETENGAH Perwira Sdn Bhd dan Permodalan RISDA Berhad di tempat ketiga.

RISDA Fleet Sdn Bhd memenangi tempat pertama kategori modal berbayar kurang RM5 juta, tempat kedua FELCRA Niaga Sdn Bhd manakala FELCRA Processing & Engineering Sdn Bhd di tempat ketiga.

MARA Liner Sdn Bhd memenangi Anugerah Khas Menteri yang julung kali diperkenalkan sebagai penghargaan kerana sumbangan besar dalam program khidmat sosial korporat.

Semua pemenang menerima trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, prestasi ditunjukkan anak syarikat milik KKLW pada 2016 adalah lebih baik berbanding 2015.

“Sebagai langkah merangka strategi jangka panjang, kita perlu mewujudkan model perniagaan bersesuaian termasuk mengambil kira hala tuju meliputi pelbagai dimensi perniagaan.

“Inovasi dan kreativiti syarikat penting untuk kekal bersaing dan relevan,” katanya berucap pada majlis itu, malam ini.

Ismail Sabri berkata, pemenang Majlis Anugerah Syarikat Terbaik KKLW 2016 dipilih berdasarkan penilaian peringkat akhir membabitkan tiga syarikat terbaik daripada 10 syarikat yang disenarai pendek bagi setiap kategori.

Penilaian dibuat berdasarkan enam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membabitkan kewangan (55 peratus), fizikal (25 peratus), tadbir urus korporat (10 peratus), obligasi sosial (empat peratus), ketidakbergantungan kepada agensi (tiga peratus) dan inovasi/pengiktirafan (tiga peratus).

“Tahun depan, saya cadangkan Kategori Ketua Eksekutif Terbaik diwujudkan,” katanya.