IPOH: Wakil daripada Kesatuan Eropah (EU) melahirkan minat mereka untuk menjalinkan usahasama dengan kerajaan negeri Perak khususnya dalam sektor pelaburan syarikat serta pemeliharaan alam sekitar yang lebih mampan.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata menerusi perjumpaan dengan ketua misi diplomatik serta duta daripada EU di Banjaran Hotspring beliau menerima maklum balas positif berkaitan pandangan mereka terhadap negeri Perak.

“Saya telah menggunakan kesempatan melalui perjumpaan hari ini, untuk memperkenalkan perkara-perkara yang boleh diadakan kerjasama di antara syarikat dari Eropah untuk mengadakan pelaburan di negeri Perak.

“Mereka juga telah menerima baik segala penerangan yang saya dan rakan-rakan telah jelaskan, baik dari PerakInvest, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), malah mereka (EU) memberi maklum balas mengenai perkara-perkara yang mereka ingi perolehi daripada kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan 17 Ketua Misi Diplomatik dan Duta EU di Banjaran Hotspring Retreat Ipoh di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata perjumpaan tersebut berjalan dengan lancar dan dijangka akan dilanjutkan dalam perbincangan akan datang.

“Malah, satu keputusan telah dibuat di mana kesemua mereka bersetuju untuk kembali ke negeri Perak pada 27 dan 28 September untuk bersama mengadakan satu program, di mana mereka amat berkenan dengan terlibat dalam usaha yang kita lakukan iaitu menjaga kelestarian alam sekitar, saya bersyukur dengan penerimaan ini,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menyatakan bahawa kesemua wakil antarabangsa itu berasa amat kagum dengan peralihan kuasa yang berjalan begitu lancar baik di kerajaan pusat dan negeri.

“EU mempunyai beberapa pelaburan yang amat baik di Perak, namun saya berpesan kepada mereka bahawa masih ada ruang penambahbaikan, dan mereka menyatakan keterbukaan untuk bekerja secara rapat dengan kerajaan negeri dan pentadbiran saya (my office),”ujarnya lagi