IPOH: “Saya belum buat keputusan, nak lihat dan baca laporan akhir dulu.”

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, tenang menjawab ketika merujuk laporan akhir Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan, mengenai nahas helikopter Eurocopter AS350 yang mengorbankan enam nyawa termasuk suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, di Sarawak, Mei tahun lalu.

Mastura mahu meneliti sepenuhnya dokumen itu Ahad ini dan akan berbincang dengan peguam keluarganya bagi membincangkan tindakan selanjutnya.

“Sebenarnya, saya sangat sedih untuk melihat semula benda ni. Jika saya nak lihat semula ini, perlukan kekuatan emosi, bukan mudah.

“Saya terima hakikat arwah dah pergi tapi nak pergi tengok dan dengar semula cerita ini semua itu bukan mudah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan mengambil tindakan undang-undang susulan laporan akhir nahas itu yang dimuat naik ke laman web Kementerian Pengangkutan, www.mot.gov.my, semalam.

Laporan setebal 81 muka surat itu turut menyatakan beberapa keperluan bagi dilaksanakan untuk mengelak nahas seperti itu berulang.

Mastura berharap semua keperluan yang diutarakan dalam laporan berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya rasa pihak berkenaan akan lebih peka selepas apa yang berlaku dan saya doakan tidak lagi berlaku kejadian sebegini.

“Saya tak mahu apa yang berlaku pada saya menimpa orang lain,” katanya.

– BHONLINE