IPOH: MCA Perak mendakwa DAP cuba mengganggu siasatan polis berhubung seorang anggota Exco kerajaan negeri yang menghadapi dakwaan merogol pembantu rumahnya.

Gangguan itu dibuat dalam bentuk penganjuran perhimpunan yang cuba mempertahankan Exco berkenaan.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, sekurang-kurangnya tiga berhimpunan telah dianjurkan yang diketuai oleh wakil rakyat setempat dari DAP.

Menurutnya, perhimpunan itu membawa mesej bahawa Exco berkenaan tidak bersalah dan dibimbangi ini mempengaruhi masyarakat bahawa kononnya ada unsur penganiayaan politik di sebalik tuduhan tersebut.

“Perhimpunan ini membawa mesej yang salah dan mempunyai unsur hasutan, ia umpama kes ini tidak perlu disiasat, Jadi kita nampak ADUN DAP sudah jadi seperti hakim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Guo Nan berkata, perhimpunan mempertahankan Exco berkenaan diadakan di Tronoh, Menglembu dan Taiping baru-baru ini, dengan para peserta perhimpunan menunjukkan plakad dengan tulisan pelbagai bahasa, antaranya perkataan ‘penganiyaan politik, fitnah dan sebagainya.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan polis mengenai perhimpunan berkenaan dan menjangkakan lebih banyak perhimpunan seumpama itu akan diadakan.

“Saya menyeru pihak polis supaya memandang serius perkara ini termasuk mengharamkan perhimpunan ini,” ujarnya.