ISKANDAR PUTERI: Laporan perbelanjaan didakwa mencurigakan bernilai RM822,640 daripada Tabung Amanah Sumbangan Kuota Bumiputera Johor adalah untuk tujuan lawatan kerja sambil belajar ke Manchester dan London di England.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata lawatan kerja sambil belajar itu diadakan pada 25 April hingga 2 Mei pada dua tahun lalu.

“Yang Berhormat Pulai Sebatang (Taqiuddin Cheman) membangkitkan tentang dana Tabung Amanah Sumbangan Kuota Bumiputera yang digunakan untuk lawatan ke London membabitkan perbelanjaan RM800,000.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat Pulai Sebatang, perjalanan ke London adalah untuk lawatan kerja sambil belajar ke Manchaster dan London bagi meninjau dan mempelajari teknologi pembinaan hijau, dasar pembangunan perumahan dan pengurusan perumahan zon antarabangsa pada 25 April hingga 2 Mei 2016.

“Lawatan ini membabitkan 17 individu yang majoritinya adalah pegawai kerajaan negeri dan lawatan kerja selama lapan hari itu membabitkan kos sebanyak RM822,640,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Khairuddin Abdul Rahim, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat Tabung Amanah Sumbangan Kuota Bumiputera Negeri Johor kerana dipercayai berlaku penyelewengan.

Katanya, ia berdasarkan laporan perbelanjaan mencurigakan sebuah agensi pelancongan menerusi lawatan kerja ke London bernilai RM822,640.

Khairuddin turut membuat laporan kepada SPRM Johor berhubung isu penyelewengan itu di Ibu Pejabat SPRM Johor, Kempas – berita  harian