TAIPING – Kerajaan negeri kesal tindakan birokrasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang telah menghalang Exconya untuk melawat selepas insiden 31 murid mengalami keracunan makanan, Rabu lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya rasa bertanggungjawab untuk mengetahui perkembangan terkini insiden itu selepas pihaknya tidak dimaklumkan akan kejadian itu sehingga hari ini.

“Saya hanya mengetahui berdasarkan maklumat yang dilaporkan oleh pihak media sahaja. Saya mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan ke MRSM ini bagi mengetahui perkembangan lanjut setelah menghadiri tugasan rasmi di sini.

“Apabila sampai sekejap boleh sekejap tidak boleh, tidak boleh masuk, saya tidak mahulah. Saya mohon maaf kepada media kerana tidak dapat beri perkembangan terbaharu kejadian ini,” katanya ketika ditemui media di perkarangan MRSM Taiping di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menafikan kehadirannya tidak dimaklumkan kepada pihak pengurusan maktab terbabit.

“Saya ada beri maklumat (lawatannya) jadi sepatutnya ada pihak yang sedia menanti. Takkan kerajaan negeri tidak boleh tahu dan seharusnya mereka salur maklumat dan berurusan dengan kerajaan negeri.

“Kita harap pihak berkenaan tahu, prosedur operasi standard (SOP) ada, sesiapa yang bercuti ada penggantinya. Terlalu birokratik dan keadaan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dengan mengadakan kerjasama dengan Exco berkaitan kesihatan, A Sivanesan.

“Walaupun kesihatan dan pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Kerajaan Persekutuan, tapi saya fikir kejadian ini berlaku di Perak, kami perlu bertanggungjawab.

“Pada awalnya, lawatan ini diadakan bagi mendapatkan maklumat lanjut dengan melihat aspek penyediaan makanan, kontraktor pembekal dan lain-lain lagi. Insiden ini harus dijadikan keutamaan bukannya soal birokrasi,” katanya.

Jelasnya, pihak berkenaan seharusnya peka dengan tugas media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Mereka harus lebih peka dengan media dalam melaporkan kepada masyarakat. Mereka kena tahu dan jangan bermusuh dengan media dan tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya – sinar