IPOH: Mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), hari ini, sebulat suara menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim sebagai Presiden persatuan itu.

Jawatankuasa juga memberi tempuh bertenang selama 14 hari untuk memberi peluang Hasnul memikirkan semula keputusannya.

Bagaimanapun, mesyuarat yang dipengerusi Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yazan Mohamad menerima peletakan jawatan Timbalan Presiden, Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaannya.

“Walaupun baru lima bulan menerajui PAFA, kami melihat YB Hasnul mempunyai komitmen dan ‘blueprint’ perancangan masa depan persatuan, dia ada ‘wow factor’,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Mesyuarat khas itu antara lain bagi membincangan surat peletakan jawatan Hasnul dan Adly yang diterima hari ini.

Khamis lalu, Hasnul, yang terpalit dengan kontroversi Piala Malaysia mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden PAFA.

Beliau memberi alasan untuk memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai ahli politik dan Exco kerajaan negeri Perak.

Muhammad Yazan berkata, mereka akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secepat mungkin untuk mencari keputusan terbaik demi bola sepak Perak.

Katanya, buat sementara, beliau akan memangku tugas presiden.