IPOH – Kesemua Exco Kerajaan Negeri Perak dijangka akan mengisytiharkan harta masing-masing ketika belum menjawat jawatan pentadbiran, dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata barisan exco tersebut telah menerima arahan daripada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu untuk berbuat demikian.

Mohammad nizar turut mengesahkan bahawa borang pengisytiharan harta tersebut telah sampai kepada beliau, para Exco serta kepimpinan atasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

“Sebelum kita buat pengisytiharan harta, kita buat proses awalan misalannya kami buat Ikrar Bebas Rasuah (IBR) terlebih dahulu.

“Setelah berikrar, baru kita persembahkan inilah harta kami sebelum kami menjawat jawatan,” beliau berkata kepada pemberita selepas selesai mengadakan lawatan kerja di SJK (T) Taman Desa Pinji, Lahat, di sini, hari ini.

Proses ikrar yang akan dilaksanakan esok bakal melibatkan Exco kerajaan negeri dihadapan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, tambah beliau.

Terdahulu, Melaka menjadi negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) terawal yang mengisytiharkan harta masing-masing kepada SPRM sejak mentadbir negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Negeri Sembilan pula menjadi negeri PH pertama yang menyerahkan dokumen pengisytiharan harta barisan Exco kepada ahli Majis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sana.