IPOH:  Exco kerajaan negeri Perak yang dikaitkan dengan dakwaan mencabul pembantu rumah warga Indonesia, telah ditahan semalam.

Penahanan itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam aplikasi Whatsapp kepada media sebentar tadi.

“Untuk siasatan polis yang adil, kita telah tangkap orang disyaki semalam untuk bantu siasatan kita.

“I will give press statement today. Insya Allah,” katanya ringkas.

Razarudin mengesahkan pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dicabul oleh seorang Exco Perak yang juga majikannya kini dalam perlindungan polis.

“Wanita terbabit (mangsa) kini berada dalam pengawasan polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan- Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah warga Indonesia

“Setakat ini saya mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan termasuk proses mengumpul segala maklumat sebelum tindakan selanjutnya dilakukan,” katanya.

Pengadu yang berusia 20-an dikatakan telah membuat laporan polis Isnin lalu selepas suspek mencabulnya sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.