IPOH: DAP Perak memandang serius dakwaan seorang anggota Exco kerajaan negeri dari parti itu yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu.

Menurutnya, oleh kerana laporan polis telah dibuat semalam, pihak parti berpandangan tiada siapa yang mengatasi undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

“Tindakan yang sepatutnya akan diambil, bergantung kepada hasil penyiasatan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai seorang Exco Perak sedang disiasat pihak polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Difahamkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.