IPOH: Kebanyakan anggota Exco kerajaan negeri Perak telah memulangkan kereta rasmi masing-masing, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan pada Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pihaknya telahpun menerima semua kereta itu.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak mahu menghebohkan perkara itu kerana ia hanya dari segi pentadbiran sahaja.

“Tak adalah kita nak masukkan (dalam media) sebab kita terima sebagai pentadiran sahaja dan kita letak di bawah (bangunan) SUK. Kalau nak tengok, boleh tengok di bawahlah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek naiktaraf Stadium Perak di sini, hari ini.

Abdul Puhat menjelaskan, walaupun DUN telah dibubarkan, di bawah kerajaan sementara (caretaker government), Menteri Besar masih berkuasa menjalankan pentadbiran seperti biasa, tetapi bukan meluluskan perkara-perkara baru.

Begitu juga barisan Exco kerajaan negeri, boleh terus menghadiri program-program yang telah disusun.

“Dia (caretaker government) akan terbubar dengan sendirinya apabila barisan kabinet (exco) baru dibentuk.

“Tetapi kuasa meluluskan, apa semua tu tak ada dah, pentadbiran harian sahaja,” ujarnya.