SEMUA 10 ahli EXCO Kerajaan Negeri Perak yang baharu dilantik Sabtu lalu memulakan tugas rasmi mereka di Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, bermula jam 8 pagi.

Ketibaan mereka disambut Pegawai Kewangan Negeri yang juga Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal serta pegawai dan kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ghazali kemudian turut memberikan taklimat kepada semua EXCO terbabit.

Semua EXCO terbabit iaitu ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Asmuni Awi; Yong Choo Kiong (Tronoh) dan Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau).

Selain itu bekas Menteri Besar yang juga ADUN Sungai Rapat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin; Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi); A Sivanesan (Sungkai); Wong May Yin (Pantai Remis); Tan Kar Hing (Simpang Pulai); Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (Titi Serong) dan Lee Chuan How (Pasir Pinji).

Selesai taklimat, mereka kemudian dibawa dan diperkenalkan dengan pegawai bertugas di bilik masing-masing.

Semua EXCO terbabit bagaimanapun masih belum diberikan portolio masing-masing dan penetapannya dijangka akan dimuktamadkan pada Mesyuarat EXCO pertama Rabu ini.

Sementara itu, Mohamad Nizar ketika ditemui berkata, tumpuan tugasan ketika ini adalah untuk memastikan semua manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya lalu dapat dipenuhi dengan baik.

“Kami ketika ini tidak sabar untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan berharap akan dapat memberikan yang terbaik kepada mereka kerana kita adalah kerajaan rakyat yang berkhidmat untuk rakyat.

“Saya juga akan membantu Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dalam semua aspek berpandukan pengalaman yang ada selama 11 bulan mentadbir Perak sebelum ini,” katanya.

Ahmad Faizal bagaimanapun tidak hadir pada taklimat berkenaan.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, fokus utama ketika ini adalah bekerja untuk rakyat bagi memastikan harapan mereka dapat ditunaikan.

Beliau yang disebut-sebut memegang portfolio belia dan sukan berkata, jika dipilih mempengerusikan jawatankuasa itu, semestinya fokus yang terdekat adalah bagi mempersiapkan negeri sebagai tuan rumah bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung September ini – hmetro