PETALING JAYA: Susulan pendedahan demi pendedahan dalam kalangan netizen mengenai Jobsifu.com Malaysia, penganjur Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 hujung minggu lalu, kini syarikat yang didakwa menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan tampil bersuara.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd (AirAsia) menerusi satu kenyataan pada Rabu menafikan penglibatan mereka dalam expo tersebut.

“AirAsia ingin mengesahkan bahawa syarikat ini tidak mengambil bahagian dalam expo kerjaya anjuran Jobsifu.com Malaysia yang diadakan di Alor Setar, Kedah bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu,” demikian menurut kenyataan itu.

Malah, AirAsia turut mengesahkan penganjur expo tersebut menggunakan logo syarikat berkenaan tanpa kebenaran dan persetujuaan mereka.

Justeru, AirAsia menggesa orang ramai yang curiga mengenai wujudnya penipuan menggunakan jenama syarikat itu supaya membuat laporan menggunakan saluran rasmi syarikat berkenaan.

“Orang ramai boleh membuat laporan atau berhubung dengan AirAsia menggunakan saluran komunikasi rasmi syarikat itu di www.facebook.com/airasia; www.twitter.com/airasia dan www.airasia.com/ask,” katanya.

-mStar