Oleh: Aida Aziz

IPOH: Penganjuran Dialog Pangkor berjaya melonjakkan ekonomi negeri Perak terutama dalam industri pelancongan dan perhotelan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kehadiran pemain industri di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) turut mencetuskan pelbagai impak positif.

Selain itu, katanya, Dialog Pangkor mengangkat kegiatan keilmuan dan kesarjanaan dengan penglibatan lebih 2000 delegasi dari dalam dan luar negara.

“Sepanjang persidangan itu berlangsung, ia memberi kesan positif kepada Bandar Raya Ipoh khususnya dengan kadar penginapan hotel melebihi 90 peratus.

“Malah, tempias manfaatnya juga terpercik kepada peniaga kecil dan kita turut memeterai perjanjian dengan Uber bagi potongan harga kepada penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Radzi Zainon (PAS-Sungai Rapat) di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Zambry memuji perilaku dan sikap ADUN Sungai Rapat itu yang sentiasa melontarkan pendapat terbaik demi kebaikan negeri Perak.

“Inilah contoh pembangkang yang baik, dia datang mengikuti Dialog Pangkor dan mendengar pelbagai pandangan yang diutarakan di program itu,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Radzi mengenai segmen-segmen lain yang dilaksanakan sepanjang Dialog Pangkor, Dr. Zambry menjelaskan, banyak faedah yang diperoleh menerusi penganjuran program itu.

“Ia termasuk Festival of Ideas dan tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dan akan dilaksanakan secara berperingkat, yang melibatkan Yayasan Bina Upaya (YBU), KPerak dan sebagainya,” ujarnya.