KUALA LUMPUR: Kontroversi cadangan pelantikan Peguam Negara yang baharu tidak akan timbul sekiranya masyarakat lebih memahami pengasingan kuasa dalam sistem pentadbiran.

Sistem pentadbiran negara memisahkan tiga badan utama iaitu Badan Perundangan, Badan Pemerintah dan Badan Kehakiman dengan fungsi dan tanggungjawab yang tidak bertindih antara satu sama lain.

Pakar undang-undang, Dr Aziz Bari, menjelaskan bahawa peranan sebenar Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan iaitu sebagai peguam dan pendakwa raya bagi pihak kerajaan Malaysia.

Bidang tugas beliau tidak langsung menyentuh hal-hal jurisdiksi badan kehakiman termasuk Mahkamah Syariah.

“Peguam Negara adalah kakitangan kerajaan yang sama seperti mana-mana kakitangan kerajaan yang lain seperti Ketua Polis Negara dan seumpamanya.

“Jadi tidak timbul isu seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak terutama berkaitan hal-hal agama Islam kerana Peguam Negara tidak ada kuasa dalam hal itu,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Kemelut berkaitan pelantikan Peguam Negara yang baharu bermula apabila penyandang jawatan itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti tanpa rekod selama 30 hari sejak 15 Mei lalu.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed telah mencalonkan nama peguam kanan Tommy Thomas sebagai calon tunggal bagi menggantikan Mohamed Apandi, dan cadangan itu kini menunggu perkenan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V.

Menurut Aziz, Yang Di-Pertuan Agong boleh mendapatkan pandangan dan memberi pandangan baginda mengenai calon yang dicadangkan namun pelantikan itu hendaklah di atas nasihat Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Aziz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak DUN Tebing Tinggi berpendapat pelantikan seseorang Peguam Negara sebaiknya datang daripada kalangan Ahli Parlimen supaya beliau memahami setiap hala tuju dan rasional keputusan yang diambil kerajaan.

Aziz turut menyebut beberapa nama dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mempunyai pengalaman dalam bidang perundangan dan layak dicalonkan untuk jawatan itu, seperti Ahli Parlimen Sungai Buluh, R Sivarasa, Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Ngeh Koo Ham (Beruas) – BERNAMA