LUMUT – Kefahaman berkaitan proses penyediaan produk halal menyebabkan usahawan bukan Islam di negara ini melihat bidang berkenaan sebagai peluang besar memenuhi permintaan pasaran.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, industri halal bukan sahaja melibatkan makanan tetapi juga prosesnya dari A hingga ke Z sama ada pengangkutan mahupun cara menguruskannya di pasar raya.

“Kita tengok hari ini, contohnya sebuah negeri di Malaysia, barangan halal dibuat oleh orang bukan Islam tapi mereka mengetahui proses halal, jadi dia nampak bidang halal peluang begitu besar.

“Di Pulau Pinang contohnya, 55 peratus penduduk Islam tapi yang usahakan barangan halal oleh sebab mereka memahami halal, 90 peratus dibuat dan dibekalkan oleh orang-orang Cina,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Bumiputera (KUB) serta pertunjukan Satu Produk Satu Industri (SDSI) di sini hari ini.

Tambahnya, negara luar seperti China dan Jepun memahami kehendak barangan halal seluruh dunia dan memahami tentang proses penyediaan produk halal.

“Jadi ia bukan mengenai halal dan orang tetapi tentang memahami proses,” katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan turut meminta usahawan tempatan merebut peluang terlibat dalam industri produk halal di pasaran antarabangsa yang kini permintaannya mencecah hampir AS$ 2 trilion di seluruh dunia.

Menurutnya, permintaan industri produk halal meningkat dengan kadar pertumbuhan sehingga 20 peratus setiap tahun dalam memenuhi permintaan pembeli seluruh dunia.

“Di pihak kementerian, kita bantu buka peluang pasaran di luar negara dan bertaraf antarabangsa dan ini adalah peluang baik untuk usahawan tempatan.

“Kita juga memberi bantuan dengan memberi peluang perniagaan di pusat perniagaan besar di Kuala Lumpur atau negara lain,” katanya – sinar harian