IPOH: Hak asasi sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada aspek ketuhanan dan kemanusiaan selain dipengaruhi oleh isu global semasa.

Menurut Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, kunci sebenar bagi maksud hak asasi manusia adalah berlandaskan kepada frasa “apa yang benar sahaja boleh menjadi hak”.

“Kadangkala manusia sering mengatakan bahawa mereka berhak ke atas apa yang dilakukan atas diri sendiri, tanpa memikirkan samada ia menghormati tujuan atau punca kejadian manusia.

“Namun kita tidak memahami yang dikatakan hak asasi itu adalah apa yang benar sahaja boleh menjadi hak, apa yang tidak benar itu bukan hak,” katanya dalam Program Bicara: Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Islam Antara Teori Dan Realiti Di Dalam Menangani Isu-Isu Global di Hotel Kinta Riverfront pada Khamis.

Hadir sama Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim, ahli LKPIM serta para pelajar dari universiti tempatan.

Dalam pada itu, Dr Shamrahayu berkata, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi khususnya umat Islam dalam menangani permasalahan serta penindasan di negara Islam.

“Masih banyak isu yang dipandang sepi oleh negara lain seperti pelarian Rohingya misalnya, contoh paling mudah kita lihat adalah perang di Iraq di mana PBB gagal menjalankan peranan yang sepatutnya,” ujarnya.

Selain itu, beliau berpendapat, New World Order yang dicipta Barat sudah jauh terpesong dengan menolak agama serta menyokong perkara yang merosakkan nilai kemanusian dan institusi perkahwinan seperti lesbian, gay, bisexual dan transexual (LGBT).

Sementara itu, Saripah dalam ucapan perasmiannya berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berperanan penting dalam memberi kesedaran tentang hak asasi selain menjadi penggerak kepada aktiviti kemanusiaan.

“Tidak perlu tunggu orang lain mula dulu, lebih baik kita bermula dengan diri sendiri. Begitu juga tanpa sokongan dan penyertaan dari masyarakat maka penegasan tentang hak asasi manusia akan menjadi sia-sia.

“Bercakap soal hak asasi, Malaysia juga sudah banyak melibatkan diri dengan secara lantang menolak penindasan di Bosnia contohnya, dan kini kita mahu perkara yang sama berlaku kepada pelarian Rohingnya dihentikan,” kata beliau.