Berkhidmat Perlu Ikhlas, Elak Program Syok Sendiri

APABILA bercakap mengenai orang muda, tumpuan selalunya tertumpu kepada dua perkara.

Pertama, keterlibatan orang muda dalam pelbagai masalah sosial di tengah-tengah ledakan teknologi komunikasi maklumat serta penyebaran budaya popular yang lahir dari ledakan tersebut.

Kedua, fakta bahawa negara memerlukan orang muda sebagai generasi pelapis yang mampu menjadikan negara lebih hebat, aman dan makmur ekonominya.

 

Berkongsi pandangan dalam perkara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gerik, Mohd Rizairi Jamaluddin berpendapat, golongan muda seharusnya didekati dan didampingi agar mereka tidak terjebak dalam perkara-perkara yang merosakkan.

Mohd Rizairi, 35, yang lebih mesra dengan panggilan RJ berkata, semua pihak wajar memahami kehendak orang muda, bukan sahaja dari aspek pengisian aktiviti tetapi keperluan mereka dalam soal pendidikan dan peningkatan kualiti hidup.

“Golongan belia memang sentiasa dahagakan aktiviti, kita perlu setiasa mendekati dan memberi perhatian kepada golongan ini bagi mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti negatif,’’ katanya ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

RJ yang bertugas sebagai Pegawai Belia dan Sukan berkata, membantu belia dengan menyediakan program-program riadah serta keagamaan memberi satu kepuasaan untuk dirinya.

“Saya ambil contoh aktiviti orang muda di Gerik, hiburan utama mereka ialah bola sepak. Jadi sebagai pegawai sukan di situ, saya cukup bertuah kerana dapat menyediakan apa yang dimahukan mereka,” ceritanya.

Menurut Rizairi, bekerja sebagai Pegawai Belia dan Sukan juga memberi beberapa kelebihan kepadanya untuk berkhidmat dengan lebih berkesan untuk orang muda.

“Contohnya setiap program yang diatur oleh kami, seperti pertandingan bola sepak atau tadarus Al-Quran, kita serapkan sekali dengan pemuda-pemuda kita.

“Kita juga bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin komuniti dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), jadi kita dapat jalankan satu program dengan dua objektif sekaligus, dua dalam satu,” ujarnya.

Jangan Buat Program Syok Sendiri

RJ yang juga graduan Sains Antropologi – Sosiologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, persepsi kononnya pemimpin muda khususnya di peringkat bahagian sering mengatur program kitar semula adalah tidak benar.

“Saya tidak tahu di tempat lain, tetapi belia di bahagian saya sendiri yang mahukan program-program seperti itu dan sambutan yang kami terima cukup memberangsangkan, sehingga 500 orang hadir setiap kali program bola sepak dibuat.

“Kita buat program perlu melihat permintaan juga, kita tak boleh syok sendiri, kalau mereka minta pertandingan dan juga liga bola sepak, jadi kita buat pertandingan kerana itu kehendak mereka,” ujarnya.

Dari segi permasalahan belia di Gerik pula, RJ berkata, belia di bahagiannya itu rata-rata menghadapi masalah yang sama iaitu perumahan.

Jelasnya, bagi pemuda yang belum berkahwin, memang ianya bukan satu masalah tetapi bagi yang sudah berkahwin, ia adalah masalah utama dan perlu ditangani secepat mungkin.

“Pekerjaan memang tiada masalah, kerana semuanya ada pekerjaan sendiri seperti kerja kampung dan sebagainnya, tetapi dari segi perumahan, saya nampak perkara ini perlu ditangani segera.

“Kita tidak mahu generasi muda yang telah berkahwin ini masih menumpang rumah ibu bapa mereka. Sampai bila? Jadi, saya meminta kerajaan mengambil inisiatif untuk membina lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat,” gesanya.

Persiapan PRU-14

Selain itu, RJ juga memberitahu pihaknya telah pun memulakan program-program berorientasikan rakyat supaya mereka lebih yakin terhadap komitmen parti dalam menyelesaikan masalah-masalah rakyat.

“Kita tidak mahu hanya dekati rakyat mengikut musim, tak boleh macam itu. Rakyat sudah beri kepercayaan, jadi kita perlu balas dengan kerja kuat untuk mereka. Tak boleh tunggu dekat pilihan raya baru buat kerja,” tambahnya.

Menyentuh isu semasa pula, R.J berkata, pihak berkuasa seperti Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) dan juga kastam seharusnya memberi penekanan khusus kepada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya lihat sebenarnya rakyat tidak marah dengan GST, tetapi mereka marah dengan peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan ke atas pelaksanaan cukai itu.

“Justeru itu, bagi saya, pihak berkuasa yang terlibat perlu melihat perkara-perkara ini, pastikan setiap aduan yang dibuat itu diambil tindakan secepat mungkin,” kata beliau