IPOH – Pengerusi Pakatan Harapan (Pakatan ) Perak dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Ahmad Faizal Azumu hari ini diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun serta Dewan Undangan negeri (DUN) Chenderiang.

Bagi kerusi Tambun, Ahmad Faizal akan berhadapan pertandingan tiga penjuru apabila perlu mengharungi Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dari Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi tersebut.

Seorang lagi calon yang mencuba nasib bagi kerusi itu adalah Muhammad Zulkifli Mohd Zakaria dari PAS.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Bersatu Perak akan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Ahmad Faizal berkata, watikah pencalonan ahli-ahli Bersatu diserahkan kepada parti oleh Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lapan calon Bersatu yang akan bertanding kerusi Parlimen di Perak dibawah tiket PKR ialah Ibrahim Mohd Hanafiah (Gerik), Amirul Fairuzzeen Jamaluddin (Lenggong), Datuk Khairil Anuar Akhiruddin (Larut), Adam Asmuni (Bagan Serai), Datuk Khadri Khalid (Bukit Gantang), Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Mohamed Azni Mohamed Ali (Tapah) dan Salihuddin Radin Sumadi (Pasir Salak).

Bagi 15 kerusi DUN pula ialah Dr Ahmad Safwan Mohamad (Pengkalan Hulu), Mohd Fadzil Abdul Aziz (Temengor), Noor Hasnida Mohd Hashim (Kota Tampan), Mat Supri Musa (Kubu Gajah), Ismail Ali (Gunung Semanggol), Datuk Shaharuddin Abdul Rashid (Trong), Zulkarnine Hashim (Lubok Merbau), Isa Jaafar (Manong) dan Murad Abdullah (Pengkalan Baharu).

Turut tersenarai Yahanis Yahya (Belanja), Azrul Hakkim Azhar (Bota), Ahmad Faizal Azumu (Chenderiang), Nordin Ahmad Ismail (Pangkor), Muhammad Faizul Mohamed Ismail (Changkat Jong) dan Mohd Amran Ibrahim (Slim).