KUBANG PASU : Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya membawa pengadil luar untuk mengadili mana-mana perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada masa akan datang.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau berharap FAM dan MFL dapat mempertimbangkan permintaan yang disuarakan oleh banyak pasukan bagi mengelakkan sebarang kesangsian.

“Kalau kita boleh ambil pengadil luar untuk Piala FA, saya ingat patutnya kita buat juga untuk Piala Malaysia.

“Saya difahamkan, biasanya pengadil yang mengadili perlawanan separuh akhir tidak boleh menjadi pengadil dalam perlawanan akhir.

“Lihat pengadil Jepun yang mengadili perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak, dia ‘tibai’ kedua belah pasukan, jadi kita tak boleh main-main, sebab dia ikut peraturan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian Sijil Hak Milik dan Lesen Pendudukan Sementara kepada penduduk, di sini, hari ini.

Mukhriz walau bagaimanapun berkata, beliau tidak mempersoalkan penggunaan pengadil tempatan dalam aksi akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, malah menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka.

“Saya tidak bermaksud bahawa kita ada sebarang rasa musykil mengenai pengadilan perlawanan ini.

“Tetapi untuk masa depan, bagi mengelakkan rasa sangsi, sebaiknya guna (pengadil) luar negara,” katanya.

Sabtu lalu, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Kedah 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.