KUALA KANGSAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan buah rock melon yang ditanam di negeri ini bebas daripada sebarang penyakit dan selamat untuk dimakan.

Timbalan Pengarah FAMA Perak Fatimie Mohd Fauzi berkata penggemar buah itu tidak perlu risau untuk menikmatinya kerana pihaknya mendapati tiada penyakit dikesan pada buah tersebut kerana ia adalah hasil tanaman sendiri dan bukan yang diimport dari Australia.

“Jika ada masalah pada tanaman di ladang kontrak kita akan buat pemeriksaan dan setakat ini buah rock melon yang ditanam di sini bebas daripada penyakit.

“Kami juga telah mengaturkan lawatan pemantauan berkala di mana kami akan datang memeriksa dan berpandukan rekod-rekod sebelumnya FAMA boleh tahu sekiranya kawasan-kawasan yang terlibat itu ada masalah penyakit,” katanya dalam sidang media pada program memetik buah rock melon usahawan ladang kontrak di Kampung Bekor, Manong dekat Kuala Kangsar baru-baru ini.

Pada 3 Mac lepas, laporan akhbar bertajuk ‘Three Australians Die, More Sick In Listeria Outbreak Tied To Melons’ melaporkan tiga kematian dan 12 orang lagi telah jatuh sakit di Sydney, Australia akibat memakan rock melon yang telah dicemari oleh bakteria Listeria Monocytogenes.

Mengulas mengenai laporan tersebut, Fatimie berkata jaminan FAMA untuk memastikan buah rock melon bebas dari penyakit ialah melalui usahasama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

“FAMA beri jaminan bahawa tiada faktor-faktor jangkitan penyakit yang akan menyerang sebab kami melakukan pemantauan dari hari pertama ladang itu dimulakan dengan tanaman rock melon.

“Pihak FAMA dan Jabatan Pertanian akan memantau sekiranya ada masalah, malah peserta-peserta ini akan menghubungi dan memaklumkan kepada kami sepanjang masa,” tambah beliau.

Fatimie berkata beberapa agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian dan FAMA juga sentiasa memantau dan memberi khidmat nasihat kepada petani di ladang kontrak supaya menggunakan teknologi tanaman terkini berbanding dengan kaedah lama.

Beliau berkata FAMA sentiasa memastikan usahawan ladang kontrak tidak mengalami masalah dalam memasarkan hasil tanaman mereka pada harga pasaran selain membantu meningkatkan pendapatan usahawan terbabit.

Katanya, sehingga kini, Perak mempunyai 20 usahawan ladang kontrak membabitkan kawasan seluas 3,608 hektar dengan nilai jualan sebanyak RM58.8 juta pada tahun lepas dan separuh daripada usahawan itu berada di Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berbangga dengan peserta orang kelainan upaya (OKU) Shahrul Nizam Zakaria kerana apa yang dicapainya kini boleh menjadi contoh kepada usahawan lain.

“Beliau mula mengusahakan ladang rock melon ini pada 2013 dan FAMA mula membeli hasilnya itu pada 2015 setelah dia menyertai ladang kontrak. FAMA membeli kira-kira dua tan metrik rock melon setiap tiga bulan sekali dan buah itu dipasarkan terus di Selayang, Selangor,” katanya.

Sementara itu Shahrul Nizam, 36, yang mengalami lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah akibat kemalangan pada 2003 berkata pada 2013, beliau mula menanam 200 pokok rock melon menggunakan kaedah fertigasi.

Kini, beliau telah mempunyai sebanyak 1,500 pokok rock melon di kawasan seluas 0.5 hektar berhampiran dengan kawasan rumah.

“Buah ini dapat dituai dalam tempoh 75 hari dengan pendapatan kira-kira RM5,000 pada setiap kali tuaian dan dibeli oleh FAMA mengikut harga pasaran,” katanya yang dibantu isterinya, Norzila Mohd Ali, 35, bersama seorang pekerja.