GOPENG – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Perak menyasarkan nilai jualan usahawan Perak pada Ekspo Pengguna Malaysian Fest 2018 di Changi, Singapura mencecah dolar Singapura $60,000 (kira-kira RM180,000).

Pengarahnya, Basri Jasmo berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kepada permintaan tinggi terhadap produk keluaran usahawan dari Perak serta bilangan pengunjung yang dijangkakan 200,000 orang sepanjang empat hari ekspo yang bermula 9 Ogos ini.

“Kita jangkakan jualan tahun ini meningkat 30 peratus berbanding tahun lepas dan antara produk keluaran usahawan Perak yang paling popular di sana adalah biskut kelapa, produk marin dan roti.

“Melihat trend jualan produk seluruh negara pada 2016 dan 2017, peningkatannya antara 15 dan 30 peratus dan ini menggambarkan permintaan di sana semakin meningkat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelepasan produk asas tani Perak ke Singapura bagi Ekspo Pengguna Malaysian Fest 2018 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.

Pelepasan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Fama Corporation Sdn Bhd, Zainal Abidin Yang Razalli.

Basri berkata, 20 usahawan dari Perak terlibat dalam ekspo berkenaan dengan mengetengahkan 50 produk seperti makanan dan produk industri asas tani.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, usaha mempromosi produk usahawan Malaysia di Singapura tidak hanya pada sesuatu ekspo sahaja sebaliknya ia dilakukan secara berterusan.

“Agro Bazar Malaysia Pte Ltd yang berperanan menjadi ejen pengedaran akan memilih mana-mana produk yang berdaya maju semasa ekspo ini untuk diedarkan kepada 12 outlet kita di pasaran Singapura,” katanya. – Bernama