TAPAH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan siswazah tahun ini, menerusi program Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS).

Di samping itu, FAMA juga mahu usahawan berkenaan memperolehi pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM5,000.

Menerusi kelab MYAGROSIS yang diperkenalkan di 104 institusi pengajian tinggi di seluruh negara, mahasiswa yang menjadi ahli akan dibimbing untuk menjadi usahawan dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, usaha itu juga selari dengan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Anak-anak muda kita di peringkat universiti ini mesti kita modenkan pemikiran mereka menjadi seorang usahawan tani yang moden, dengan pergerakan moden supaya kos pengeluaran akan kurang tetapi pendapatan akan lebih,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Chillax MYAGROSIS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah pada Rabu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan

Sejak ditubuhkan pada Disember 2011, lebih 27,000 siswazah telah menjadi ahli Kelab MYAGROSIS, walaupun sasaran awal hanya melibatkan 20,000 orang menjelang tahun 2020.

Badruddin berkata, siswazah tidak perlu bimbang kerana pelbagai pihak akan memberi bantuan modal dan khidmat nasihat supaya perniagaan mereka dapat dilaksanakan dengan baik.

Di samping itu, kata beliau, program MYAGROSIS juga diharap menangani defisit import makanan yang tinggi sekarang, sekaligus membantu menstabilkan kos sara hidup.