JASIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan stok ayam dan daging sebanyak 500 tan metrik di seluruh negara bagi tempoh seminggu sejak 8 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, masing-masing 350 tan metrik ayam dan 150 tan metrik daging.

Pengarah Bahagian Pasar Tani FAMA, Rosilawati Abu Hassan, berkata penyediaan kedua-dua stok berkenaan ditawarkan di 732 pasar tani FAMA bagi memastikan bekalan bahan makanan itu mencukupi sempena Aidilfitri.

Katanya, sejumlah 300 tan metrik bahan mentah lain pula adalah seperti sayur-sayuran, rempah ratus dan makanan laut bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan pengguna memperoleh barangan segar pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran sempena Jualan Jimat Belanja Aidilfitri yang akan berakhir 14 Jun ini.

“Malah, sambutan menggalakkan dapat dilihat sejak 1 Januari sehingga 31 lalu dengan nilai jualan mencapai RM300 juta. Tahun ini, kita menyasarkan RM850 juta nilai jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program itu yang disempurnakan EXCO Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee di Merlimau, di sini, hari ini.

Rosilawati berkata, sejumlah RM760 juta nilai jualan dicatatkan tahun lalu berikutan peningkatan permintaan dan kesedaran pengguna untuk berjimat, terutama pada musim perayaan – berita harian