Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Semua fasiliti bagi acara-acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia Ke-19 (Sukma) dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun hadapan, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sukma Perak 2018, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Beliau yang meninjau perkembangan projek naik taraf kemudahan tersebut pada pagi ini, berkata, buat masa ini, pada puratanya, semua fasiliti itu telah mencapai tahap siap lebih 70 peratus.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa lokasi yang memerlukan penelitian khas dari segi penambahbaikan struktur, kerja-kerja mengecat dan kemasan berkaitan.

“Antara yang diberi perhatian adalah kerja-kerja menukar dan menambah kerusi-kerusi penonton di Stadium Perak, menggantikan trek balapan dan muka bangunan (facade) stadium berkenaan.

“Selain itu, lokasi bagi acara sukan wajib seperti kolam renang bertaraf antarabangsa, gelanggang skuasy, Stadium Indera Mulia bagi gimnastik, kini sudah pun mencapai tahap melengkapkan binaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Puhat berkata, antara pembaharuan yang diteliti dalam tinjauan hari ini ialah taraf penilaian antarabangsa yang dilaksanakan di Lapang Sasar Menembak Amanjaya, Chepor.

Katanya, lapang sasar yang berkemampuan menampung kehadiran 60 penembak handalan dan amatur dalam satu masa, turut menepati semua piawaian berkelas antarabangsa yang telah ditetapkan.

“Malah, kami juga akan memastikan semua persiapan gelanggang, trek, padang dan lokasi bagi setiap acara dijalankan seiring dengan pemeriksaan berkala daripada Kementerian Belia dan Sukan agar ianya menepati piawaian,” katanya lagi.

Beliau menambah, lapang sasar menembak itu yang bakal menjadi lokasi terbesar di Malaysia, juga akan menjadi salah satu lokasi utama bagi mencungkil bakat-bakat muda melalui persembahan semasa acara Sukma tersebut.

Abdul Puhat berkata, sebanyak 29 acara sukan bakal dipertandingkan di lokasi-lokasi yang ditetapkan di seluruh negeri dengan 37 lokasi telah dimuktamadkan bagi kejohanan sukan kebangsaan itu di negeri ini pada tahun hadapan.

“Kita menyokong dan mendukung hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk merakyatkan Sukan Malaysia kelak,” katanya lagi.