IPOH : UMNO Perak menyarankan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming membuat laporan polis berhubung sebuah laman Facebook yang membuat hantaran menghasut rakyat dalam isu papan tanda dwi-bahasa yang dikaitkan dengan beliau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Kor Ming perlu membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

Menurutnya, Kor Ming juga seharusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendedahkan siapakah pemilik laman Facebook berkenaan.

“Nga tidak perlu melatah mengenai isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dikongsi oleh laman Facebook yang dikatakan mempunyai kaitan dengan beliau.

“Ini bukanlah kali pertama laman Facebook berkenaan membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian dan bukanlah kali pertama laman berkenaan mengaitkan Nga. Oleh itu satu tindakan tegas hendaklah diambil.

“Nga sering menampakkan dirinya sebagai mangsa fitnah serta tipu daya, oleh itu Timbalan Speaker Dewan itu mesti membuktikan kesucian beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Kor Ming menegaskan beliau tiada kaitan dengan sebuah laman Facebook yang membuat hantaran berhubung isu papan tanda yang mempunyai tulisan Cina .

Menurutnya, hantaran berbaur hasutan yang buat oleh sebuah laman Facebook menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ bukan daripada beliau atau DAP.

Terjemahan tulisan Cina pada hantaran itu antara lain bermaksud orang Cina yang tidak berpuas hati dengan arahan kerajaan supaya menurunkan tanda jalan dwi-bahasa dipersilakan bertentangan muka dengan ‘orang Melayu’ yang memberikan arahan berkenaan.

– UTUSAN ONLINE