BEHRANG: Prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli, Felcra Bina Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FELCRA, telah membantu memperbaiki jalan di Kampung Pisang Rasau, dekat sini.

Peruntukan sejumlah RM20,000 untuk projek itu diumumkan Ahli Lembaga Pengarah Felcra Bina, Datuk Kamarul Rashdan Salleh yang melawat kampung itu, hari ini.

Hadir sama di dalam lawatan itu ialah Pengarah Urusan Felcra Bina Sdn Bhd., Suhaimi Abd Hamid.

Kamarul Rashdan turut menyampaikan sumbangan kira-kira RM1,500 kepada anak-anak Orang Asli yang masih bersekolah.

Selain Kampung Pisang Rasau, mereka turut melawat dua buah lagi kampung Orang Asli iaitu Kampung Tenau Ulu Silam dan Kampung Keding Ulu Slim.

Menurut Kamarul Rashdan, lawatan itu adalah untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat di kampung-kampung tersebut di samping mengetahui masalah mereka.