PASIR SALAK – Harga 710 unit rumah generasi kedua Taman Felcrajaya Seberang Perak, Fasa 2 yang naik sebanyak 70 peratus akhirnya ditawarkan pada harga yang dipersetujui oleh pembeli dan pihak Felcra Berhad selepas beberapa pertemuan.

Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Peserta Felcra, Mohd Fauzi Mohd Tahir berkata, harga berkenaan diselaraskan selepas mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk wakil generasi kedua Felcra Seberang Perak.

“Pihak pengurusan sentiasa peka kepada keperluan suara hati anak-anak generasi kedua dan ekoran daripada itu kita telah tetapkan harga jualan selepas rebat bermula daripada RM115,888 sehingga RM214,888 untuk empat jenis rumah yang ditawarkan.

“Harga jualan tersebut adalah berdasarkan luas lot standard bagi kaki persegi untuk 710 unit buah rumah yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media khas di Pejabat Jualan Perumahan Generasi Kedua Felcra, di Changkat Lada, di sini hari ini.

Harga jualan berkenaan melibatkan RM115,888 seunit bagi jenis Dahlia, RM140,888 seunit bagi jenis Cemara, RM169,888 seunit bagi jenis Bourgainvillea dan RM214,888 seunit bagi jenis Allamanda.

Menurut Mohd Fauzi, Felcra juga telah menubuhkan jawatankuasa pemilihan pembelian rumah jenis Cemara dan Dahlia untuk membincangkan kaedah terbaik dalam memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada anak-anak peserta yang berpendapatan bulanan di antara RM2,500 hingga RM3,500.

“Di samping itu bagi memudahkan pembelian rumah, Felcra dengan kerjasama pihak bank juga telah bersetuju memberikan keistimewaan seperti membenarkan pinjaman dibuat secara bersama sama ada dengan pasangan masing-masing, ibu bapa dan juga adik beradik.

“Yuran guaman bagi urusan jual beli rumah ini juga adalah percuma di mana ia diserap oleh Felcra selain memutuskan keutamaan membeli rumah diberikan kepada anak-anak peserta Felcra Seberang Perak lebih-lebih lagi mereka yang menetap dalam kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Wakil Badan Bertindak Generasi Kedua Felcra Seberang Perak, Sulaiman Nordin, 57, berkata pihaknya berasa puas hati dengan keputusan yang diberikan oleh pihak Felcra selepas mengadakan beberapa pertemuan sebelum ini.

“Saya rasa puas hati atas desakan kami pada harga yang kami mohon dan dalam perbincangan antara Felcra kami menerima penjelasan dari segi kos yang ditanggung oleh Felcra.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Felcra memberikan jawapan munasabah dan saya memberi saranan agar perkara ini tidak lagi dibangkitkan kerana dari segi harga yang ditawar ia adalah harga munasabah,” katanya.

Sebelum ini para pembeli ditawarkan harga asal antara RM90,000 hingga RM133,00 mengikut empat kategori semasa ditemu duga oleh pihak Felcra namun terkejut apabila dimaklumkan dengan harga meningkat sekali ganda antara RM128,888 hingga RM326,888 – sinar