JOHOR BAHRU: FELDA akan menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Unit Integriti agensi itu, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata, ahli lembaga pengarah sudah meluluskan cadangan itu dan kini hanya menunggu maklum balas SPRM bagi menentukan tarikh penempatan pegawainya di unit berkenaan.

Selain memeriksa dan memantau, katanya, pegawai itu akan memberi pendidikan, latihan serta nasihat kepada kakitangan FELDA dalam pelbagai perkara berkaitan rasuah dan integriti.

“Mereka juga akan menjadi rujukan bagi sebarang maklumat berkaitan rasuah dan integriti,” katanya sambil menjelaskan FELDA turut membayar gaji pegawai terbabit.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina 2018 Bersama Ahli Parlimen Johor Bahru dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di Taman Suria di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, langkah pihaknya meletakkan pegawai SPRM di agensi itu bagaimanapun bukan bermakna ada banyak kes rasuah dalam FELDA, sebaliknya bagi meningkatkan persepsi positif masyarakat – berita harian