KUALA LUMPUR: FELDA secara rasmi memperoleh kembali 16 lot tanahnya yang bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, hari ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi FELDA, Tan Sri Sharir Samad, pada sidang media khas di Menara FELDA di sini, sebentar tadi.

Sharir berkata, ada 17 tanah didaftarkan atas nama syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), dan pendaftaran semula dilaksanakan secara berperingkat bulan ini.

“Dua tanah lot terakhir yang diperoleh kembali, didaftarkan kepada FELDA pada 8 Mac (semalam).

“Jawatankuasa Khas Rundingan yang dilantik 8 Februari lalu, akan memulakan rundingan penambahbaikan syarat Perjanjian Pembangunan 24 lot tanah dengan SPSB,” katanya.

Shahril berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dengan Ahli Lembaga FELDA akan berunding untuk menilai berkenaan pembangunan tanah dan aset kerajaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut anggaran kos penilaian semula 24 lot tanah berkenaan dan sama ada perjanjian terdahulu berat sebelah.

Beliau berkata, satu perjanjian persefahaman antara FELDA dan SPSB dimeterai pada 15 Januari lalu, mencapai kata putus untuk menggariskan tiga perkara.

“Pertama, SPSB akan mengembalikan tanah atas nama mereka kepada FELDA untuk didaftarkan semula tanpa sebarang kos.

“Kedua, perjanjian persefahaman (MoU) untuk tambah baik perjanjian antara kedua-dua pihak. Ketiga, siasatan forensik serta audit masih berlangsung dan akan diteruskan,” katanya.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas laporan BH baru-baru ini mendedahkan, FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu; dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga tahun lalu.

Difahamkan, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif – berita harian